Pimpinan Pakatan Harapan Melaka Serah Bantahan Syor Persempadanan Semula SPR


13 Oktober: Para pemimpin dari parti-parti komponen Pakatan Harapan Melaka hari ini telah menyerahkan sebanyak 17 bantahan terhadap syor persempadanan semula kawasan pilihanraya di pejabat SPR Melaka di Tingkat 20, Wisma Persekutuan pagi ini.

Diantara pemimpin yang turut menyertai bantahan ialah Pengerusi Parti Amanah Negeri Melaka, Tuan Hj. Adly Zahari, Pengerusi Keadilan Melaka yang juga ahli parlimen Bukit Katil, YB Shamsul Iskandar Md.Akin dan Ketua Pembangkang DUN Melaka yang juga ADUN Ayer keroh, YB Khoo Pay Tiong.

Di dalam sidang media yang diadakan sejurus selepas serahan nota bantahan, Hj. Adly menyatakan syor persempadanan semula kawasan pilihanraya adalah jelas tidak adil dan tidak professional.

"Jika dibuat perbandingan kita melihat N05 Taboh Naning mempunyai pengundi seramai 8,198 dengan N16 Bukit Baru mempunyai pengundi seramai 25,773. Dalam lain kata, bilangan pengundi N16 Bukit Baru adalah 3.14 kali lebih ramai daripada bilangan pengundi N05 Taboh Naning," ujar Adly.

"Ini merupakan asas kepada bantahan kami," katanya lagi.

Bagi peringkat parlimen pula, nisbah ketidak-sekataannya lebih ketara apabila bahagian pilihanraya persekutuan yang dicadangkan P134 Masjid Tanah mempunyai pengundi seramai 47,972, manakala P137 Bukit Katil mempunyai pengundi seramai 96,165 dan P138 Kota Melaka mempunyai pengundi seramai 105,067.

Sementara itu, YB Sahmsul Iskandar kesal dengan SPR yang nampaknya bertindak seperti mengikut telunjuk UMNO BN apabila mengesyorkan persempadanan semula yang menurutnya tidak masuk akal.

"Bagaimana mungkin satu DUN iaitu DUN Bachang dikeluarkan daripada Parlimen Bukit Katil?" soalnya

Beliau juga merujuk satu ucapan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan BN bertekad untuk merampas kembali kerusi Parlimen Bukit Katil yang jatuh kepada pembangkang.

"Apakah tindakan SPR ini sebagai untuk memenuhi hasrat PM berkenaan? Jika benar ternyatalah bahawa syor persempadanan semula ini mengikut telunjuk pemimpin politik khususnya UMNO BN," tambahnya lagi.

YB Khoo Pay Tiong menyelar SPR kerana mengemukakan syor persempadanan semula yang cenderung kepada perkauman.

"Jika dulu kita lihat banyak kawasan DUN campuran, tetapi kini lebih memperlihatkan pembahagian mengikut kaum terutamanya melibatkan kaum Melayu dan Cina," katanya.

"Jika ikutkan syor SPR itu, secara kasarnya DAP mungkin telah selesa, tetapi di atas semangat Pakatan Harapan, kita tidak mahu cuma DAP sahaja yang menang. Kita juga mahu PKR dan AMANAH turut menang didalam pilihanraya akan datang," ujarnya lagi.

"Tujuan persempadanan semula SPR kali ini begitu ketara untuk mengalahkan pembangkang yang telah memenangi Parlimen Bukit katil dan DUN Bukit Baru di dalam pilihanraya yang lepas," tambahnya lagi.

Menjawab soalan pemberita, Khoo menyatakan sebanyak 17 bantahan telah dikemukakan. Di pusingan pertama ialah melibatkan DUN Ayer Keroh, Kesidang, Bukit Baru, Paya Rumput, Rim, Machap dan Klebang manakala pusingan kedua hari ini ialah Kota Melaka, Alor Gajah, Bacang, Kota Laksamana, Bukit Baru, Telok Mas, Ayer Molek dan Bukit Katil.

Hampir semua pimpinan tertinggi parti-parti komponen Pakatan Harapan Melaka dari Keadilan, AMANAH dan DAP turut sama menyertai majlis penyerahan bantahan syor persempadanan semula. -Greenboc


Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments:

Post a Comment