K'jaan Melaka Perlu Proaktif Elak Catuan Air


KENYATAAN MEDIA
ISU AIR: KERAJAAN MELAKA DISARAN AMBIL LANGKAH PROAKTIF
ELAK CATUAN AIR.


1. Merujuk kepada kenyataan Ketua Menteri (KM) Melaka, Datuk Seri Idris Haron, yang dikeluarkan Bernama, Melaka akan mengadakan catuan air sekiranya cuaca panas dan kering tanpa hujan seperti sekarang berterusan sehingga awal bulan depan (Mei).

2. Parti Amanah Negara, Melaka (Amanah Melaka) berharap kerajaan negeri dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) harus memainkan peranan penting dalam memberikan kesedaran kepada pengguna untuk bersama-sama berusaha kepada kepada penjimatan air. Penggunaan air secara berhemah juga dapat membantu mengelakkan pembaziran air.

3. Kerajaan Negeri juga diminta memantau SAMB menyelenggara aset air dalam beberapa aspek, seperti :

a) memastikan tiada kebocoran paip yang berlaku agar pembaziran "tanpa sedar" dapat dielakkan.

b) penyelenggaraan terhadap kolam takungan juga perlu kerap dilakukan agar yang ditakung ialah air dan bukan lumpur atau mendapan.

c) pembersihan parit dan saliran perlu diberi perhatian agar tiada gangguan terhadap aliran air ke kolam takungan.

d) mempercepatkan pelan jangka panjang kerana musim kemarau pada masa akan datang lebih sukar untuk diramal.

4. Amanah Melaka juga menggesa kerajaan negeri untuk menyemak semula semua perjanjian penjualan air di antara SAMB dan syarikat air dari luar negeri Melaka. Sebagai contoh pada tahun 2015, SAMB dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) telah memeterai perjanjian air dimana SAMB bersetuju membekalkan 1.1 juta gelen air sehari kepada penduduk Tampin, Negeri Sembilan. Seharusnya rakyat Melaka diberi keutamaan sebelum penjualan air kepada negeri lain dilakukan.

5. Pada sekitar tahun 2013, indeks kehilangan air terawat Melaka adalah sebanyak 22%. Ini juga boleh dikategorikan sebagai salah satu pembaziran dan peratusan ini perlu diperbaiki serta dikurangkan. Sewajarnya kerajaan negeri perlu mengambil Pulau Pinang sebagai contoh dengan kadar kehilangan air terawat hanya 18% dan ia merupakan kadar yang terbaik di Malaysia.

6. Serentak dengan itu, Amanah Melaka berharap seluruh rakyat negeri Melaka sama-sama berdoa agar bumi tercinta disirami hujan. Ianya agar tiada catuan air maupun terputus bekalan air bersih berlaku di Melaka.

Sekian, terima kasih.

ADLY ZAHARI
Pengerusi AMANAH Negeri Melaka
14 April 2016 / 6 Rejab 1437H


Catuan air jika cuaca kering hingga bulan depan - KM Melaka

MELAKA: Melaka akan mengadakan catuan air sekiranya cuaca panas dan kering tanpa hujan sekarang berterusan sehingga awal bulan hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata paras air di empangan Durian Tunggal di Alor Gajah kini di tahap amaran iaitu 50 peratus.

Manakala dua lagi berada di tahap baik - empangan Asahan, Jasin (88 peratus) dan empangan Jus, Jasin (75 peratus).

"Bagaimanapun dalam lima hari kebelakangan ini nampak positif apabila hujan turun, walaupun tak banyak...kita harap ia berterusan.

"Selain itu kita mahu rakyat Melaka mengambil tanggungjawab dalam usaha menjimatkan air, elakkan pembaziran dan gunakan air secara berhemah," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka di sini hari ini.
-BERNAMA


Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments:

Post a Comment